Kenapa saya menjadi wakil Takaful?



Setelah sekian lama tidak menghadiri mana-mana kursus latihan, saya terpanggil untuk menghadiri kursus memprospek dari En Sohibul, salah seorang Group Agency Manager. Kursus dihadiri oleh ramai wakil takaful baru, namun ramai juga orang-orang lama yang mahu menggilap semula, mahupun mendengar dari orang yang lebih berilmu dalam bidang ini. Salah satu yang menyentuh hati, ialah pandangan dari Puan Norasyikin tentang kekuatan dan kenapa memilih menjadi wakil Takaful Ikhlas sdn Bhd.

Setiap pekerjaan yang kita lakukan, punya matlamat tersendiri, walaupun pada asas dan lumrahnya tentulah untuk mencari wang demi masa depan keluarga, dan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Namun sebagai seorang Islam, tanggungjawab kita lebih berat lagi. Islam merangkumi semua aspek dalam kehidupan kita. Dari saat bangun tidur, hingga kita memejam mata pada malam hari, semua aktiviti kita adalah berkisar dengan diri kita sebagai seorang Islam. Sedar tak sedar, setiap pekerjaan yang kita lakukan perlulah diniatkan kerana Allah, mendapatkan keredhaan Allah. Keluarnya bekerja seorang wakil Takaful haruslah diiringi dengan niat untuk berjuang untuk Islam. Dan apakah itu? Salah satunya tentulah muamalat Islam. Ada kalanya, hati tidak begitu bersemangat, tidak begitu ghairah untuk keluar bekerja apabila mengenangkan tugasan-tugasan biasa, bertemu dan mengajak pelanggan masuk atau ambil takaful. Tapi disebaliknya, tahukah kita bahawa diluar sana banyak unsur-unsur yang tidak syariat yang perlu diperangi secara dalaman.

Tiada statistik pengambilan riba kerana ianya tiada yang mahu mendedahkan atau dibuat penyelidikan secara rasmi. Sedangkan Riba' adalah musuh no. 1 Islam yang harus diperangi habis-habisan. Sedarkah kita, perkara yang diambil remeh adalah sesuatu yang amat besar yang selalu kita lupa termasuklah saya sendiri. Seringan-ringan riba' adalah sama seperti zina dengan ibubapa sendiri. nauzubillah.

Sesekali terasa beratnya tanggungjawab, mahu memerangi dan memberi penerangan di luar sana tentang inilah salah satu cara untuk menghalalkan keperluan kita. Takaful. Ada orang begitu mudah mengambil jalan singkat dengan produk yang berleluasa di luar sana. Alhamdulillah, setakat ini saya mampu lagi memberi penerangan, mengajak saudara menuju ke jalan yang sepatutnya. Tidak sekali-kali berdebat tentang ini, kerana perkara Riba adalah fakta yang jelas nyata. Tiada yang tersembunyi tentangnya. Terserah jika mereka masih mahu memilih jalan yang satu lagi itu. Pilihan masih tetap ditangan kita. Sejauh mana iman kita.

Beberapa fakta Riba :

1. Tahukah anda bahawa, riba', kadar faedah, dan bunga itu adalah benda yang sama?

2. Tahukah anda bahawa riba' adalah punca utama menyebabkan perbezaan jurang ekonomi yang mana mereka yang miskin menjadi semakin miskin dan yang kaya menjadi semakin kaya?

3. Tahukah anda bahawa riba' juga salah satu penyebab jatuhnya empayar Ottoman?

4. Tahukah anda karangan William Shakespeare bertajuk "Merchant of Venice" berkisar mengenai pengambilan riba?

5. Tahukah anda bahawa Allah SW dan Rasulnya mengishtiharkan perang terhadap mereka yang mengambil riba'? (Surah Al Baqarah 2:279)

6. Tahukah anda bahawa mengambil riba', memberi riba', merekod dan menjadi saksi kepada urusan riba itu dosanya adalah sama? (Sahih Muslim)

7. Tahukah anda bahawa larangan riba' juga terdapat didalam Kitab Injil? (Leviticious 25:35-7, Exodus 22:24, Deutronomy 23:19-20 dll.)

8. Tahukah anda bahawa terdapat 70 jenis riba'? Dan yang paling kecil dosanya adalah seperti berzina dengan ibu sendiri? (Ibnu Majah, Baihaqi)

9. Tahukah anda bahawa menerima satu dirham (wang perak) riba' dengan menyedarinya, dosanya lebih besar dari berzina 36 kali? (Ahmad)

10. Tahukah anda bahawa semasa israk mikraj, Nabi SAW melihat mereka yang makan riba' perutnya dipenuhi dengan ular? (Ahmad, Ibn Majah)

11. Tahukah anda bahawa akan tiba masanya tidak ada seorang pun didunia ini yang terkecuali dari riba', jika dia tidak terlibat dengan riba' sekalipun debu atau wap riba' akan kena padanya (Sahih Abu Daud)

Rujukan: The Prohibition of Riba In The Quran & Sunnah oleh Sheikh Imran Hossein

No comments:

Post a Comment