Jangan Bertangguh

Firman ALLAH SWT Bermaksud : “ ALLAH yang menciptakan kamu bermula dengan
keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah
itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang
dikehendakiNya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
( Surah Ar Room : 54 )

Cebisan renungan dari ayat di atas :
1) Kita hendaklah bersegera melakukan kebajikan sebelum datang bermacam cubaan dan
dugaan yang meyekat dan meghalang kita dari menunaikan kebaikan. Kadang-kadang kita
sering terfikir mahu melakukan kebaikan itu dan ini. Contoh : Menderma untuk orang yang
memerlukan seperti anak yatim dan sebagainya. Tahu-tahu niat kita sudah bertahun berlalu
dimana waktu itu, kita mungkin sudah menggunakan wang tersebut untuk perkara lain yang
mungkin agak penting. Maka niat kita tinggal niat yang sepatutnya sudah lama tertunai.

2) Bencana, cubaan dan ujian pasti akan datang, dan setiap makhluk pasti mengalaminya
mengikut tahap masing-masing. Oleh kerana itu, kita perlu bersegera melakukan kebaikan,
kebajikan dan ketaatan tanpa bertangguh-tangguh. Tiada siapa tahu ujian atau musibah yang
akan berlaku kepada kita mahupun keluarga. Hanya Allah yang tahu bila detik itu tiba dimana kita
akan terpisah dari orang yang amat kita sayangi.

3) Sesungguhnya apabila ujian datang, tidak ramai dikalangan manusia yang mampu
menghadapinya dengan penuh redha. Ujian yang diturunkan bukan hanya pada mereka yang
baik dan soleh, akan tetapi ujian juga akan menimpa kepada yang melakukan dosa, dan kesan
daripada ujian itu bukan sahaja pada mereka yang ditimpa ujian malah di sekitarnya akan
terkena imbasannya juga. Solat, doa dan zikir mampu melembutkan hati dan sentiasa redha apabila diuji.
Semuga Allah hanya menguji dengan ujian yang mampu kita lalui.  Malah itulah janjinya.

4) Keadaan hIdup kita tidak akan selamanya tetap. Bumi berputar, hari silih berganti, masa
berdetik pantas, maka keadaan kita juga turut mengalami perubahan. Hari ini kita menikmati
kesenangan, mungkin esok kita bakal susah, saat ini kita dikurniakan kesihatan, mungkin esok
kita jatuh sakit, detik ini kita bernyawa akan tetapi mungkin sebentar lagi ruh bakal berpisah
daripada jasad. Ketika itu, kita sudah tidak berpeluang lagi untuk mengecapi nikmat melakukan
kebaikan.

5) Kelalaian yang melanda kita menjadikan kita lupa dan bertunda daripada bersungguh
melakukan amal. Sedangkan kita harus beringat bahawa keadaan kita kini tidak selamanya
tetap. Kekuatan yang ada akan menjadi lemah, muda akan berubah menjadi tua dan
seterusnya hinggalah dunia bertukar menjadi padang mahsyar. Sentiasa ingat bahawa
dunia hanya hiasan semata-mata, akan sentiasa membuatkan kita terasa begitu kerdil di sisi
Allah.

6) Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa mengingati ALLAH SWT ketika senang mahupun
susah, kita mesti melangkah seiring dengan amal soleh walaupun sedikit. Mereka yang cepat
kembali kepada ALLAH adalah mereka yang beruntung, dan mereka yang masih bertangguh
dalam melaksanakan amal soleh adalah dikalangan yang rugi lagi dirundung penyesalan yang
tiada berguna lagi.
WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment